Sunday, March 2, 2008

mEDIA & pOLITIK



Pengenalan

Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen yang juga mempunyai sebuah perlembagaan bertulis yang dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan ini memperuntukkan pengasingan dalam tiga cabang pemerintah utama iaitu kuasa eksekutif, perundangan dan kehakiman. Walaupun pengasingan antara 3 kuasa utama ini tidak mencapai status yang ‘mutlak’, namun demikian ianya masih memenuhi keperluan konsep sekatan dan imbangan seperti yang dinyatakan oleh tokoh politik iaitu John Locke (1632-1704) dan juga konsep pengasingan kuasa yang dicetuskan oleh Montesquieu (1689-1755) seorang ahli falsafah Perancis.[1]

Perlembagaan juga bukan sekadar meletakkan asas bagaimana sesebuah negara itu harus diperintah. Ia juga harus mempunyai semangat keperlembagaan yang menurut B.O Nwabueze (Constitutionalism in Emergent States) kerajaan adalah perlu tetapi mewajibkan had ke atas kuasanya.[2] Selain itu, S.A. De Smith antara lainnya menjelaskan bahawa semangat keperlembagaan meliputi jaminan undang-undang yang efektif terhadap hak-hak asasi yang dikuatkuasakan oleh sebuah badan kehakiman yang bebas.

Merujuk kepada kedudukan Akta Cetak dan Penerbitan dan Akta Rahsia Rasmi khususnya di Malaysia yakni negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, ianya masih mendapat perhatian penting. Analisis berkenaan akta ini yang diguna pakai di Malaysia masih mendapat perhatian khusus. Ini kerana masih terdapat kekeliruan dari pelbagai aspek berkenaan pengaplikasian akta ini dalam negara. Tidak kiralah dari aspek hukuman yang dikenakakan, pendefinasian, penyelarasan akta dan sebagainya.

Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984

Akta ini secara kronologinya mempunyai sejarah dan susungalur yang amat panjang. Ianya bermula daripada zaman pemerintahan British menerusi Syarikat India Timur di India, sekitar tahun 1790-an. Peraturan berkaitan undang-undang akhbar dan penapisan mula diperkenalkan di negara ini pada tahun 1799. Dari tahun 1799 hingga 1835, sebanyak 3 buah wilayah yang diduduki oleh British iaitu Bengal, Madras dan Bombay sudah mengamalkan sistem penapisan yang ketat.[3] Ini merangkumi satu sistem perundangan yang mana akhbar-akhbar yang hendak dicetak mestilah mendapat persetujuan dan ditunjukkan terlebih dahulu kepada kerajaan presidensi (British) sebelum dicetak. Hal ini juga berlaku di kerajaan di Negeri-Negeri Selat.

Namun, pada September 1835, Gabenor Jeneral British di India telah menggubal satu sistem perundangan berkaitan akta penapisan ini sebagai Indian Act No.11. menerusi sistem yang baru, semua perundangan berkenaan akta penapisan telah dimansuhkan disemua presidensi India.[4] Undang-undang baru ini hanya memerlukan mesin cetak sahaja yang didaftarkan. Ini adalah lebih mudah jika dibandingkan sistem penapisan yang terlebih dahulu di amalkan. Pemansuhan sistem penapisan ini juga disambut baik di Singapura dan dengan itu telah menubuhkan sebuah akhbar baru yang dikenali sebagai “Singapore Free Press” pada Oktober 1835.[5]

Sehingga tahun 1920, satu Ordinan Mesin Cetak telah diperkenalkan di Singapura (yang pada ketika itu merupakan pusat pemerintahan Negeri-Negeri Selat). Undang-undang baru ini diperkenlkan berikutan satu kekacauan yang berlaku di Singapura yang mana ianya telah melibatkan 2 kumpulan yang bertentangan menggunakan medium akhbar sebagai menunjukkan rasa tidak puas hati. Justeru, sistem atau Ordinan Mesin Cetak ini diperkenalkan. Sistem baru ini juga diperkenal dan diaplikasikan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1924 dan Tidak Bersekutu pada tahun 1925.

Di bawak Ordinan Mesin Cetak yang diperkenalkan di Negeri-Negeri Selat itu, sesiapa yang mahu memiliki atau menggunakan mesin cetak perlu mendapatkan lesen daripada kerajaan pemerintah terlebih dahulu dan ini bergantung kepada budi bacara kerajaan yang memerintah pada masa itu.[6] Di bawah ordinan ini, pemilik dikehendaki menjadi pencetak dan juga penapis sendiri berkenaan akhbar yang mahu dicetak. Ini adalah peruntukan perundangan yang penting dan wujud sehingga hari ini. Satu lagi peruntukan yang juga dianggap penting ialah berkenaan permit penerbitan. Peruntukan ini digubal dalam 1939 apabila pihak pemerintah Kolonial di Singapura mula menghidu kegiatan propaganda Jepun yang menubuhkan akhbar berbahasa Cina, Jepun, Inggeris dan Melayu yang berunsur penghasutan.

Akhirnya pada tahun 1948, berikutan pemberontakan komunis, Ordinan Mesin Cetak 1948 diperkenalkan bagi seluruh Persekutuan Tanah Melayu yang bertujuan untuk memerangi propaganda komunis.[7] Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang ada kini adalah satu transformasi daripada Ordinan Mesin Cetak dan yang digabung dengan ‘Akta Penerbitan Yang Tidak Diingini’ 1958.[8] Akta Mesin Cetak 1984 yang ada sekarang mempunyai 3 elemen utama yang merangkumi pelesenan mesin cetak, permit penerbitan dan larangan penerbitan palsu (yang ditambah melalui pindaan pada tahun 1987). Akta ini juga memperuntukan bahawa keputusan menteri berhubung akta ini adalah muktamad dan tidak boleh dibawa kemana-mana mahkamah.

Oleh yang demikian, sesiapa yang ingin menyimpan atau menggunakan mesin cetak, perlu mendapat lesen dariapada pihak berkuasa (Kementerian Dalam Negeri). Manakala, penerbit pula mesti mendapatkan permit penerbitan sebelum boleh untuk menerbitkan sesebuah akhbar, majalah atau apa-apa bentuk periodical. Walaubagaiamanpun, terdapat kelemahan pada sistem perundangan ini yang mana penerbit yang menerbitkan terbitan berkala boleh untuk menerbitkan apa jenis atau bentuk periodical tanpa permit. Caranya ialah dengan tidak menggunakan nama yang sama. Ini seolah-olah pernerbitan itu sekali sahaja yang mana penerbitan sekali tidak memerlukan permit seperti buku.

Akta ini menjadi sebuah akta ‘hidup’ berikutan pindaan yang dibuat dalam tahun 1987 dengan memasukkan peruntukan berkaitan berita palsu. Berdasarkan kajian kes di Malaysia, sekurang-kurang 4 orang telah dimasukkan ke mahkamah berkenaan kes atau yang melibatkan berita palsu. Antaranya ialah kes Pung Chen Choon (Editor The Borneo Mail), aktivis masyarakat Irene Fernandez, Khalid Jefri dan seorang ahli politik iaitu Lim Guan Eng.

Analisis Kedudukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984) di Malaysia

Secara amnya, kedudukan akta ini di Malaysia masih tidak sempurna dan banyak kelemahan yang masih perlu diperbaiki. Secara khusus, akta ini memang masih relevan khususnya yang berkaitan dengan penerbitan yang tidak diingini. Bagaimanapun, masih ada beberapah peruntukan lain yang perlu diberi perhatian ke arah membuat semakan semula atau terus memansuhkannya. Peruntukan yang dimaksudkan ialah seperti ;

  • Lesen Mesin Cetak
  • Permit Penerbitan
  • Berita Tidak Benar

Lesen Mesin Cetak

Pengenalan penggunaan lesen Mesin Cetak ini diperkenalkan dalam tahun 1920, yang bertujuan untuk mengawal pergerakan akhbar. Pada masa itu, semua penerbitan atau penerbit perlu untuk mendapatkan lesen sebelum menerbitkan akhbar kecuali akhbar yang berbahasa inggeris. Ini kerana, syarikat penerbitan akhbar berbahasa inggeris pada masa itu membantah dengan memberitahu yang bahasa inggeris adalah bahasa yang digunakan oleh kerajaan dan mahkamah pada masa itu. Justeru, penerbitan bagi akhbar bahasa inggeris mendapat pengecualian.

Dalam tempoh masa kini, untuk terus memperjuangkan demokrasi atau negara yang mengamalkan demokrasi, adalah sesuatu yang mustahil untuk mencapai demokrasi sekiranya masih wujud sekatan khususnya dalam isu media yang merangkumi penerbitan bahan bercetak ini. Maksudnya, tempanglah demokrasi sekiranya masih wujud sekatan media ini. Begitu juga halnya dengan akta ini yang merujuk kepada pelaksanaan Lesen Mesin Cetak di Malaysia. Walaupun begitu, masih ada alasan-alasan yang kukuh supaya Akta Lesen Mesin Cetak ini masih relevan sehingga hari ini. Alasannya, ialah hal cetak rompak, cetak bahan lucah, wang palsu dan sebagainya. Oleh yang demikian, akta ini masih juga relevan. Namun, langkah perlu diambil bagi memastikan pelaksanaannya tidak sekali-kali mengganggu atau menyekat amalan demokrasi di dalam negara (Malaysia).

Dalam hal yang lain pula, pemberian lesen dan permit ini juga masih berada dalam keadaan yang kontrovesi. Ini kerana, masih banyak sekatan atau halangan yang perlu ditempuhi sekiranya mahu untuk mendapatkan lesen dan permit penerbitan. Amalan lalu yang terpaksa melalui proses penyiasatan latar belakang yang akan mengambil masa yang agak lama oleh pihak polis dirasakan sudah tidak relevan lagi. Langkah penyiasan halus mungkin perlu pada masa lalu kerana sumber maklumat berkenaan latar belakang pemohon permit dan lesen adalah sukar. Tapi kini, segalanya telah berubah dengan kecanggihan sains dan teknologi. Apa yang penting ialah pemantauan yang rapi berkenaan penggunaan mesin cetak selepas ia dibenarkan beroperasi. Pemberian lesen dan permit yang lebih mudah sebenarnya menolong dan memangkin pembangunan industri percetakan dalam negara.

Permit dan Penerbitan

Dalam dunia yang serbah canggih dan globalisasi kini kian menjadi-jadi, maka berkembanglah sains dan teknologi ke merata dunia tanpa sempadan. Perkembangan sains dan teknologi yang dikaitkan dengan kemajuan dalam sistem pengkomputeran, internet dan sebagainya, maka peruntukan bagi permit penerbitan ini kelihatan tidak begitu relevan lagi. Ini kerana, untuk menerbit dan menyebarkan sesebuah akhbar umpamanya tidak lagi memerlukan lesen dan sebagainya. Sebaliknya, hanya dilakukan melalui kecanggihan dunia pengkomputeran (laman web, blog). Ini suatu bukti yang boleh dikaitkan dengan ketidak relevanan peruntukan akta penerbitan ini. Namun, untuk tujuan menyekat penyebaran secara meluas hal-hal negatif seperti penerbitan lucah dan sebagainya, maka peruntukan ini masih boleh diteruskan. Namun, ianya perlu selari dengan peredaran zaman dan penemuan baru dalam sains dan teknologi. Apa yang penting di sini ialah agar peruntukan ini digunakan dengan kaedah yang betul dan bukan menggunakan sebab lain untuk tujuan yang berbeza.

Berita Tidak Benar

Peruntukan bagi akta berita tidak benar ini diwujudkan dalam pindaan yang dibuat dalam tahun 1987. setakat hari ini, empat orang telah diambil tindakan mengikut akta ini. Seorang daripadanya telahpun dijatuhkan hukuman dan denda mengikut akta tersebut. Merujuk kepada akta dan keempat-empat kes tersebut, akta ini hanya dikuat kuasakan apabila sesebuah berita tidak benar yang disebarkan itu betul-betul sensitive dan boleh menggugat perpaduan negara.

Maknanya, akta ini hanya dikuat kuasakan apabila sesebuah perkara tidak benar itu betul-betul mempengaruhi isu yang sensitif dan mengganggu gugat perpaduan negara semata-mata dan tidak mempengaruhi perkara-perkara lain.

Akta Rahsia Rasmi 1972

Seperti yang sedia maklum, setiap akta yang diperkenalkan di Tanah Melayu (Malaysia) mempunyai latar belakang atau sejarah yang cukup kukuh dan relevan untuk diaplikasikan menerusi kerajaan pemerintah. Begitu juga halnya dengan Akta Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan 1948 dan Akta Rahsia Rasmi 1972. Akta Rahsia Rasmi sudah diperkenalkan di Malaysia (Tanah Melayu) pada seawal sebelum era perang dunia kedua lagi. Akta Rahsia Rasmi yang mula-mula diperkenalkan di Negeri-Negeri Selat merupakan akta yang juga sama diaplikasikan di United Kingdom.

Akta ini pada dasarnya diaplikasikan untuk tujuan mengawal serta melarang penyebaran maklumat yang diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi. Seksyen 2 akta ini mengkelaskan dokumen dan bahan sebagai Rahsia Besar, Rahsia Sulit dan Terhad. Ini kerana rahsia rasmi adalah dokumen yang penting bagi sesebuah kerajaan yang memerintah dan pembocorannya boleh menjejaskan keselamatan negara. Oleh yang demikan, sesiapa yang menerima rahsia rasmi tanpa sah dan membocorkannya boleh didakwa di bawah seksyen 8 akta ini. Menurut kajian kes di Malaysia, terdapat 2 kes yang melibatkan akta ini iaitu yang membabitkan 2 orang ahli politik iaitu Lim Kit Siang (ketika itu menjadi seorang ahli parlimen) dan Datuk Haji Dzulkifli bin Datuk Abdul Hamid.

Merujuk kepada kes Datuk Haji Dzulkifli, beliau telah didapati bersalah kerana membocorkan rahsia berkaitan dengan pendatang tanpa izin Filipina di Sabah. Kes ini telah mewujudkan prinsip undang-undang berikut ;

  • Tidak hilang taraf rahsia sesuatu dokumen jika seseorang itu mencuri dan menghantar maklumat dalam dokumen itu kepada penerima secara tidak diketahui.

  • Kerahsiaan dokumen masih ada walaupun maklumatna sudah diketahui umum.

Dua orang wartawan telah dihadapkan ke mahkamah. Mereka ialah Sabry Shariff dari ajbar New Straits Times dan juga James Clad dari Far Eastern Economic Review. Kedua-dua mereka telah dihukum denda.

Selepas daripada kedua-dua kes ini, dan beberapah kejadian lain, Akta Rahsia Rasmi telah diperketatkan dengan menjadikan hukuman penjara minimum 1 tahun bagi mereka yang disabitkan bersalah di bawah akta ini.

Analisis Kedudukan Akta Rahsia Rasmi

Secara rasional, akta ini masih perlu dan relevan untuk terus diguna pakai dalam negara ini. Walau bagaimanapun, ada beberapah perkara yang perlu dikaji dan perlu melalui penelitian yang rapi khusus ke arah mengemaskini akta ini. Antaranya ialah takrif kerahsiaan sesuatu maklumat rasmi tertentu. Pada masa ini, takrif rahsia itu masih tidak begitu jelas. Oleh yang demikian, kajian spesifik perlu dilaksanakan supaya takrifnya dibuat dengan lebih jelas lagi.

Selain daripada itu, satu isu lain lagi perlu diberi perhatian berkenaan tempoh luput kerahsiaan secara automatik sesebuah akta tertentu. Maknanya, langkah perlu diambil supaya tempoh luput kerahsiaan sesuatu dokumen atau maklumat harus diwujudkan. Merujuk kepada beberapah negara-negara lain seperti United Kingdom, tempoh luput bagi sesebuah dokumen rasmi (rahsia) telah diberikan sekitar 25, 50 dan 100 tahun bagi sesebuah dokumen. Langkah seumpama ini perlu dilaksanakan di Malaysia.

Dalam hal yang lain pula, hukuman yang dikenakan kepada pesalah yang dikaitkan di bawah akta ini juga perlu disemak semula. Ini kerana, hukuman penjara yang dikenakan sebelum ini iaitu 1 tahun penjara haruslah dikaji semula atau dihapuskan sekaligus mengembalikan semula budi bicara hukuman oleh atau kepada hakim yang bicara.

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, kajian ini telah menghuraikan secara terperinci berkenaan latarbelakang dan pengertian Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Rahsia Rasmi. Selain itu, berdasarkan kertas ini juga diselitkan tentang pengaplikasian kedua-dua akta ini di Malaysia khususnya sejak dari mula akta ini diperkenalkan semasa penjajahan British di Malaya (Malaysia) pada satu tempoh masa dahulu. Berdasarkan analisis yang telah dibuat, adalah wajar atau mengenalpasti terlebih dahulu beberapah peruntukan di dalam akta tertentu yang dirasakan harus melalui satu proses semakan semula atau mungkin harus dipinda untuk menjadikannya lebih sesuai khususnya mengikut peredaran semasa. Menurut kajian juga, undang-undang ini dirasakan perlu untuk diteruskan atau tidak dimansuhkan sebaliknya hanya perlu melalui proses disemak dan dipinda semula. Ini kerana masih terdapat beberapah unsure lain yang dirasakan perlu dan relevan untuk diteruskan.

Daripada penyataan rasmi dan sudah diketahui maklum, Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan beberapah keistimewaan kepada rakyat di Malaysia (kebebasan bersuara) khususnya selari dengan ideologi yang didokong oleh Malaysia sendiri (Demokrasi). Namun, adakah kebebasan yang diberikan ini tulen atau sekadar ‘ideal type’ (Max Waber) atau mungkin memang ada kebebasan namun ianya terbatas oleh sempadan (akta-akta ini) tertentu.

Inilah dilema yang melanda Malaysia kerana kebebasan ini wujud menurut persekutuan, tetapi wujud sekatan pada masa yang sama untuk menyekat kebebasan tersebut. Sebaliknya, jika tidak ada sekatan langsung juga menjadi persoalan. Kerana, ianya bakal mengundang pelbagai masalah yang boleh menjejaskan perpaduan dan kestabilan dalam negara. Apa yang penting ialah, semakan dan pindaan semula bagi sesebuah akta tertentu adalah penting mengikut tujuan dan kesesuaiannya diaplikasikan khususnya di Malaysia dan mengambil kira aspek dan isu-isu yang melibatkan perpaduan dan keharmonian negar selaras dengan peredaran semasa.



[1] Mohd Safar Hasim, Akhbar dan Kuasa: Perkembangan Sistem Akhbar di Malaysia sejak 1806. Kuala Lumpur. Hlmn 34

[2] SUHAKAM : A Case For Media Freedom. Kuala Lumpur. Hlmn 32.

[3] SUHAKAM : A Case For Media Freedom. Kuala Lumpur. Hlmn 33.

[4] Ibid,

[5] Ibid,

[6] SUHAKAM : A Case For Media Freedom. Kuala Lumpur. Hlmn 34

[7] Ibid,

[8] Ibid,


No comments: